Friday, July 01, 2005

BAHASA MALAYSIA



This is courtesy to all my Malay friends and those who understand Bahasa Malaysia :)

Baru-baru ini telah berlangsung sebuah Persidangan Kesihatan Antarabangsa dan Pemeran Kesihatan yang telah diadakan di Palace of the Golden Horses. Acara tahunan ini adalah tajaan Persatuan Hospital-Hospital Swasta Malaysia dan telah dilancarkan oleh YB. Datuk Dr. Chua Soi Lek, Menteri Kesihatan Malaysia.

Acara yang berlangsung selama tiga hari ini telah menjadi tumpuan masyarakat perubatan di seluruh Malaysia termasuk beberapa pihak dari luar negera. Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) atau pun Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia iaitu sebuah badan professional ‘non-profit’ telah diberi penghormatan membentangkan topic-topik penting berkaitan dengan kualiti di bidang kesihatan pada hari sebelum persidangan berlangsung. Tidak ramai yang tahu berkenaan dengan peranan yang dimainkan oleh MSQH di dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di Malaysia. Oleh itu pada persidangan ini, ramai yang bertanyakan tentangnya.

Sambutan acara tahun ini adalah amat baik walaupun ianya diadakan di suatu tempat yang agak jauh dari kota iaitu di Palace of the Golden Horses tidak seperti pada tahun-tahun sebelum ini, di Sunway Pyramid Exhibition and Convention Centre di Sunway Pyramid
. Ramai peserta bengkel persidangan ini yang bermalam di hotel ini termasuklah yang tinggal di kawasan KL.

Saya telah mengambil kesempatan persidangan tersebut untuk menerokai hotel terkenal Palace of the Golden Horses ini; dari bilik tidur ke ‘Teksi Air’ yang menyambungkan hotel ini ke ‘Mines Beach Resort’ dan Mines Shopping Complex’. Memang tidak dapat dinafikan tempat ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri kepada pelancong. Saya dimaklumkan bahawa semua bilik hotel telah penuh kerana Persidangan Kesihatan Antarabangsa tersebut serta pelancong dari Arab dan Hong Kong yang datang bercuti untuk musim panas di negara mereka.

Saya cuba menikmati keindahan Palace of the Golden Horses dari kaca mata seorang pelancong. Kesimpulannya adalah saya bangga, ia sangat cantik, ada prestig tersendiri dan sangat bersih.

Pada pendapat saya, Malaysia adalah sebuah negera yang bertuah kerana kepelbagaian geografi, masyarakat berbilang bangsa dan kekayaan dari segi bahasa. Menyatakan tentang keindahan alam semula jadi di Malaysia, satu perkara yang perlu diambil perhatian oleh rakyat Malaysia ialah menjaga kebersihatan tempat-tampat tarikan pelancongan supaya sentiasa bersih dan indah. Saya agak kecewa dengan sikap sesetengah rakyat Malaysia sendiri yang suka membuang sampah di merata-rata tempat tak kira di mana jua. Kekadang kita terlihat orang membuang sampah dari tingkap kereta, kekadang orang membuang puntung rokok, tin minuman dan kertas gula-gula begitu sahaja padahal tong sampah ada disediakan. Apa salahnya sekiranya anda memandu, kumpulkan dahulu sampah anda di dalam kereta sebelum membuangkannya ke dalam tong sampah apabila telah sampai ke destinasi yang dituju. Sampah-sampah kecil tersebut mencacatkan keindahan pemandangan jalan-jalan raya di sepanjang lebuhraya dan juga di dalam kota metropolitan kita. Amat memalukan kepada pelangcong asing.

Pada tahun 1992 saya telah mendaki Gunung Ledang di Johor. Masih jelas diingatan saya betapa tercemarnya gunung tersebut. Saya terbaca juga dari blog seorang ‘expatriate’ yang mengadukan perkara yang sama masih berlaku. Ini bermakna, situasi sampah sarap di gunung tersebut setelah 13 tahun berlalu masih lagi berlaku dan ini amat memalukan. Dia juga mengadu berkenaan kawasan perkelahan Templer Park yang sangat kotor. Apabila orang asing yang mengadu, ia dikira amat serius.

Berbalik kepada Gunung Ledang, di sepanjang perjalanan naik ke atas, banyak sampah sarap di celah-celah pokok dan di sepanjang laluan ke puncak gunung. Siapakah yang akan membersihkannya? Sikap yang betul apabila memasuki kawasan-kawasan semulajadi atau pun hutan ialah membawa pulang semua sampah-sampah yang tidak boleh ‘decompose’ atau boleh juga menggali lubang khas untuk menimbuskan sampah-sampah tersebut. Lebih terpuji sekiranya kita menolong membersihkan sedaya yang mampu. Cuba anda tanya diri sendiri, kalau semua orang tidak berbuat begitu, orang lain tidak akan dapat menikmati keindahan kawasan semulajadi tersebut. Kita tidak perlu terlalu bergantung kepada pihak tertentu untuk membersihkan sampah sarap yang kita sendiri membuangnya.

Hmm.... rasa macam laporan alam semulajadi pulak kan. Sebenarnya saya adalah pencinta alam semulajadi, banyak habiskan masa remaja di dalam hutan :) Ini juga adalah kali pertama saya menulis menggunakan Bahasa Malaysia. Ada rasa sedikit sukar untuk mengarang tanpa menggunakan bahasa pasar.

Walaubagaimanapun saya akan cuba sedaya upaya untuk tidak ketinggalan di dalam memperkasakan bahasa ini. Bahasa Malaysia adalah satu bahasa yang sangat halus dan indah. Apabila kita menggunakannya, maksud setiap perkataan amat mendalam dan terasa agak berat untuk bertutur sepenuhnya di dalam bahasa ini terutamanya apabila ingin menyatakan tentang perasaan. Ianya terlalu halus. Contohnya, kita jarang mengatakan, “aku cinta pada mu” (hanya selesa di dalam lagu) sebab ia terlalu halus dan sangat bermakna. Kita lebih suka menggunakan Bahasa Inggeris, “I love you” kerana ia lebih ringkas, tidak terlalu berat atau terlalu peribadi. Mungkin ini hanya dirasai oleh saya sahaja, mungkin orang lain tidak begitu. Saya tidak berapa pasti.

Dari segi sejarah mengapa saya jarang menulis di dalam bahasa ini adalah kerana saya terlalu bergaul di kalangan orang bukan melayu. Saya dibesarkan di Negeri di Bawah Bayu, Sabah. Semasa di sekolah saya bergaul dengan bangsa-bangsa bukan melayu (Melayu adalah minoriti di Sabah). Bahasa pertuturan pula adalah bercampur kerana terdapat pelbagai etnik di Sabah termasuk orang-orang dari Indonesia dan Filipina yang juga adalah sebahagian daripada komuniti tempat saya bersekolah kerana status Penduduk Tetap (Permenant Residence) yang mereka perolehi di Sabah. Saya telah biasa bertutur dengan bahasa pertuturan orang Sabah dan ini berlanjutan sehingga saya pulang ke Semenanjung Malaysia pada tahun 1990 untuk menyambung pengajian di sebuah universiti di utara. Sekembali dari Sabah, saya merasakan amat sukar untuk kembali ke bahasa pertuturan gaya semenanjung kerana susunan bahasa dan perkataan yang digunakan adalah berlainan. Kawan-kawan juga sering mentertawakan saya kerana loghat saya yang agak kasar. Contoh-contoh perkataan Sabah yang berbeza adalah; sikat rambut - ‘sisir’, semalam – ‘kemarin’, tidak mahu – ‘endak mau’, miang – ‘getek’, menyorok – ‘tapok’ dan banyak lagi. Keluarga saya masih lagi menggunakan sesetengah perkataan ini kerana kami terlalu lama berada di sana dan ianya telah sebati di dalam kehidupan kami. Malah adik bongsu saya juga telah dilahirkan di sana.

Berbalik kepada penggunaan Bahasa Malaysia di dalam penulisan, jika kita lihat di pejabat, Bahasa Malaysia jarang digunakan di dalam persuratan (terutamanya bagi syarikat swasta) kerana Bahasa Inggeris lebih difahami oleh semua masyarakat. Persuratan menggunakan Bahasa Malaysia hanyalah apabila berurusan dengan badan-badan kerajaan. Ini ditambah lagi dengan zaman globalisasi di mana kita berinteraksi menggunakan ‘lingua franca’ Bahasa Inggeris. Sesekali ada juga saya terfikir, suatu hari nanti adakah generasi akan datang masih mahu menggunakan bahasa ini di dalam kehidupan seharian mereka.

Wow! This is the longest posting for me so far. I hope there will be someone who would want to read it. Ha ha...for those who can not understand a word in Malay, what I had written up there was my sentiment about being Malaysian, about the natural environment and the National Language.

KEEP THE NATURE GREEN!

6 comments:

  1. macam cikgu bahasa pulak.. hehe..

    ReplyDelete
  2. Sekali sekala menulis :) Dulu cita-cita nak jadi penulis tapi orang putih kata 'mediocre', not so good and not so bad (in the middle), so kenalah practice and polish lagi my skill kat sini.

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  4. I'm sorry Angah, I've accidentally deleted your comment here.

    ReplyDelete
  5. ha'ah,
    ikut cam liza...
    buang sampah sumer dlm keter..
    dah mcm lori alam flora klu masuk keter dia...

    ReplyDelete
  6. Tipu... mana ada macam alam flora. Berani you kutuk kereta i ye. Tak pe, tak lama lagi i nak tukar kereta baru :)

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

My mind says:

  • "I CHOOSE TO LOVE EVERYTHING THAT IS MINE"
  • If it's not you, who else!
  • Love your country. Keep it SAFE & GREEN...